...macam tak boleh dipisahkan lagi. walaupun hanya sebatang itu aje pokok mangga di laman rumah mak, dan itu jugaklah satu-satunya pokok buah yang ada. memang tak dinafikan, buahnya lebat, setiap dahan tergantung paling kurang sepuluh biji mangga yang cantik buahnya. kadang-kadang tu, mak merungut dan mengadu, banyak yang gugur tak tau kenapa. hujan tak, ribut tak, tau-tau bila keluar kat laman awal pagi, banyak yang bertaburan. mak kutip mangga-mangga yang bergelimpangan itu, mak simpan dalam peti kayu di dapur. mak peramkan mangga itu dengan harapan nanti ia akan masak dan bolehlah anak-anaknya makan.
bila dah ada yang masak, mak akan suruh adik-adik call aku.
'mak pesan suruh along datang rumah ambik mangga.'
'hm, nantilah bila senang!'
'mak suruh datang sekarang, kalau lambat ambik... nanti busuk!'
'hm, tengoklah nanti, along sibuk ni!'
selalunya aku lupa. dan, adik aku akan call lagi lusa. bagitau mesej yang sama. cepat ambik mangga takut nanti busuk.
saat ini aku termenung. bagitau bini aku untuk segera pergi rumah mak ambik mangga. dan aku terfikir, kenapa hanya disebabkan buah mangga itu mak berat-berat fikir sampai suruh adik-adik call untuk aku segera ambik jangan sampai busuk. bukannya mati pun kalau aku tak ambik mangga tu. bukannya aku kempunan pun. tapi, mak tetap nakkan aku ambik mangga tu. mak tetap nak aku makan buah mangga tu. mak simpankan buah mangga tu untuk aku. mak peramkan buah-buah mangga tu untuk aku.
dan, anak aku athirah pernah bagitau. mak ambik buah yang pecah untuk dia makan. yang elok mak simpan untuk aku. mak akan potong mangga yang pecah dan masak itu, mana-mana bahagian yang busuk dan lembik mak buang, dan makan mana bahagian yang elok. tapi, untuk aku, selalunya mangga yang mak bagi, semuanya elok-elok belaka?!
aku hanya mampu memejamkan mata dan membiarkan fikiran dan perasaan aku ini untuk menilai erti kasih sayang seorang emak terhadap anaknya!
1 comment:
Itu la seorang ibu....lebih memikirkan anak2nya berbanding diri sendiri... :)
Post a Comment