Friday, November 25, 2011

lelaki dari dalam lubang cacing...

...itu benar-benar panik.  panik benar-benar.  apa taknya?!  seingatnya sebentar tadi dia tertidur sewaktu serabut memikirkan tentang hutangnya yang berbusut dengan along kini dah menggunung.  pinjam dua puluh lima ribu nak kena bayar seratus sembilan puluh lapan ribu?!  gila babai apa?!
dia kena lari. lari jauh-jauh agar along tak jumpa.  kalau jumpa, nanti jari hilang tiga, tak bayar lagi, muka kena simbah asid, kena pecah kepala, kena butakan mata, dan macam-macam benda ngeri yang dia selalu bayangkan.  semalam aje, pintu rumahnya kena simbah cat.  warna merah, biru, kuning dan putih.  bersememeh.  yang heran tu, pandai pulak pilih warna bendera malaysia.  setaunya along ni tak ada hati perut, tapi patriotik la pulak.
depan pintu pagar rumahnya, besar-besar mykadnya difotokopi dan ditampal, dan ada pulak tulisan berbunyi:  ini orang hutang tak bayar, pandai pinjam saja.  ingatkan di pintu pagar rumah saja, rupa-rupanya, mykadnya itu yang dah jadi macam poster pilihanraya bersepah-sepah ditampal (berserta slogannya itu:  ini orang hutang tak bayar, pandai pinjam saja) hampir di seluruh persekitaran tempat tinggalnya termasuklah di restoran mamak tempat yang selalu dia lepak pekena teh tarik berbincang pasal projek juta-jutanya itu.
sebab itulah dia nekad melarikan dirinya.  satu sebab terlalu takut, kedua sebab terlalu malu dengan jiran tetangga.  tetapi?!  nak lari mana?  di mana saja ada geng-geng along berkeliaran.  apatah lagi gambar, mykadnya, serta apa juga tentang dirinya telah disebarkan.  mana nak sorok muka.  kalau ditanggalkan poster-poster yang banyak ditampal itu, lagilah orang tau itu dirinya?  dia tiada pilihan, terpaksa lari menyembunyikan diri.  tapi di mana?
kerana itulah sebenarnya dia tersadai di dalam lubang ini.  pernah terdetik di dalam hati, hanya di dalam lubang cacing saja along takkan jumpa dengan dirinya.  mujur, tuhan sayangkan dirinya (mungkin ganjaran dia bersedekah seringgit pada pak cik buta yang sering diiringi isterinya meminta derma ikhlas sewaktu dia lepak di restoran mamak dekat rumahnya dulu itu), angan-angan kosongnya itu menjadi kenyataan, kerana dia telah menemukan lubang cacing itu yang kecil sebesar diameter sebatang pensil.  dia junamkan kepalanya dulu, cuba untuk masuk dan alhamdulillah, mudah saja dia meloloskan dirinya dan terus dia merangkak ke dalam lubang yang semakin lama semakin gelap itu.
dia yakin dia akan selamat di dalam lubang cacing ini!  alhamdulillah....
akibat keletihan, dia tertidur, apatah lagi jiwa sedikit tenang (sebab itu mudah dilelapkan mata setelah berhari-hari tak tidur) kerana yakin along takkan temui dia di sini.
dan dia hanya terjaga sewaktu kedengaran  bunyi bising.  ingatkan dia seorang saja yang bersembunyi di sini, rupa-rupanya ramai juga manusia yang melarikan diri ke dalam lubang cacing ini.  dia matikan dirinya, tak mahu ada orang perasankan dirinya yang sedang bersembunyi (mana tau ada jiran tetangga malulah), sekadar melekapkan telinganya mendengar butir bicara dari hingar-bingar kebisingan itu.  terdengar juga bunyi siren....

'bila jumpa?!'
'tadi tuan!'
'macam mana boleh perasan?!'
'mula-mula bau busuk tuan, tu yang saya cari, tak sangka ada di sini?!'

saat itu orang ramai dah mula berpusu-pusu.  cahaya kilat memancar.  dia jerumuskan kepalanya yang sudah pun sedia terjerumus ke dalam lubang cacing itu agar tak ada siapa perasankan dirinya.

'macam-macam hal zaman sekarang ni!'  lelaki yang dipanggil tuan itu menggeleng.  'apa nak jadi dengan manusia hari ini pun tak tau?  tak ada hati perut!' 

keesokan harinya, terpampang di akhbar utama, seorang lelaki yang berhutang dengan along ditemui mati dengan keadaan yang mengerikan.  kepalanya berkecai (dipercayai dihentak dengan objek keras), separuh badannya ditanam ke dalam sebuah lubang di belakang belukar di kawasan perumahannya....

2 comments:

Anonymous said...

nk tanya http://www.ahadiatakashah.org/ aktif lagi tak.. please check becoz ada lagi org order buku kat situh.. risau kena hijack..

ahadiatakashah said...

sy pun tak pasti sebab ada ejen yg sy lantik utk uruskannya. tapi dgr cerita dah kurang aktif. klu blh jgn order lagi melalui situ.

Post a Comment