There was an error in this gadget

Tuesday, August 14, 2012

selamat hari raya mak....

dah dekat sangat dah raya nak datang.  tup-tap-tup-tap, dua belas tahun dah aku sambut lebaran dengan bini aku tu.  bilalah pulak aku nak sambut raya dengan bini-bini aku pulak?  tak sempatlah nampak gayanya sebab sampai sekarang aku masih ada satu bini. beraya dengan bini aku tu ajelah rasanya.  asyik-asyik tengok muka dia.  sebelum tidur, muka dia, bangun tidur muka dia jugak yang aku tengok, yang muka toya ada air liur basi meleleh tu.

tak tau sampai berapa belas tahun lagi aku akan sambut raya dengan bini aku tu?  mungkin jugak sampai berpuluh tahun lagi.  dua puluh, tiga puluh, empat puluh... eh, kalau empat puluh tahun lagi umur aku dan lapan puluh tujuh?!  ataupun mungkin setahun dua ni saja lagi?!  mana tau?!

apa pun, kalau aku dah tak ada... mungkin bini aku akan kawin lain.  balik kampung rumah suami baru dia tu. padan muka dia.  sebab masa dengan aku, aku balik kampung dia kat padang rengas tiap-tiap tahun.  maklumlah, aku ni orang kl, mana ada kampung.  dulu mula-mula kawin, ada jugaklah raya pertama beraya kat rumah mak aku kat gombak setia, tau-tau mak aku halau suruh balik kampung bini aku tu.  heran jugak aku dengan mak aku ni.  'baliklah rumah mak mertua kau tu, lagipun kau jumpa mak hari-hari....'

tahun ni macam biasa aku balik kampung bini aku.  sukalah dia tu,  nyampah aku.  kalau tak nanti, mak aku yang hambat suruh aku balik kampung mak mertua.  dan, malam raya nanti bini aku akan masakkan rendang ayam dan daging untuk mak.  itu adalah rutin dan kewajipan.  dan, malam raya nanti, sekali lagi aku akan peluk dan cium dahi dan pipi mak, mintak maaf dengan mak, walaupun aku tau mak hari-hari dah maafkan aku dan anak-anaknya yang lain tanpa kami pinta....

selamat hari raya mak, maafkan anak mak ni ye....

iklan raya 2012....

jeng... jeng... jeng... kalaulah duit aku bertambah banyak, satu lagi iklan aku buat....

bapak abu punyalah garang, tak hengat.  sikit silap abu, satu flying kick naik, dua pelempang sampai, abu tergolek kat lantai....

mak abu hanya mampu berbisik ketakutan:  'dahlah tu bang, mati nanti anak kita tu....'
'biar mati sekarang dari dah besar menyusahkan orang!'

tengah malam, mak abu curi-curi masuk bilik tuam lebam.  abu dapat rasakan kehangatan tangan mak membelai.  walaupun dah biasa makan tangan bapak, tapi, belaian tangan mak yang sering abu dambakan.

bila abu masuk sekolah asrama penuh, saat tulah dia rasakan merdeka yang bahagia.  tak lagi makan tangan bapak.  tak lagi kena penampar kasar.  tapi, saat itu, abu rindukan belaian tangan mak yang hangat menuam lebam.

sebab nak buktikan pada bapak yang bila besar dia takkan susahkan orang... abu belajar sampai amerika.  balik amerika pegang jawatan besar.  mula sibuk dan tak sempat balik kampung.  balik pun sekali-sekala, itu pun masa raya, paling lama raya kedua, esoknya dah mula balik ke kota. alasan kecik hati dengan bapak.  macam-macam bapak hina masa kecik dulu sampai membatu dalam hati.  disebabkan rindu pada tapak tangan maklah, abu gagahkan untuk balik ke kampung.  abu pasang tekad, kalau dia ada anak, dia takkan seksa anaknya macam bapak seksa dia.

abu kawin dengan anak jutawan sebab abu bukan calang-calang.  dahlah bini cun, anak orang kaya pulak tu.  dapat anak dua orang dan abu bagi kasih sayang.  nyamuk baru terbang pusing-pusing, satu rumah abu spray sampai pening-pening.  anak baru batuk sikit, abu terus hantar rumah sakit.  apa anak nak, abu beli bagai nak rak.  abu tak nak anak-anak senasib dengannya masa zaman dia dengan bapak.

satu hari mak telefon bagitau bapak dah nazak.  abu pun bukannya kisah sangat bagitau kalau senang nanti dia balik.  dan, abu cuma balik bila bapak dah balik jumpa tuhannya.

dan, pada malam tahlil yang ketiga, mak panggil abu masuk bilik.

'ini surat bapak, dia pesan suruh mak kasi kamu bila dia dah tak ada lagi!'
abu capai surat yang dah kusam itu.
'mak pun tak tau apa isinya... tapi nanti sampai kl nanti kau bacalah!'

abu bukak surat itu sorang-sorang dalam ofis mewahnya.  itu pun lepas dua minggu sebab tak penting sangat pun nak baca surat bapak yang dah meninggal dunia.  tulisan bapak memang abu kenal sangat.  sebab tulisan bapak buruk dan herot-berot dengan ejaan yang banyak salah.

'aku tahu enko binci degan aku.  aku tak selahkan enkao.  cuma, kelau engko sayan mak engkao, engkau tebos balek tanah posaka tempat emak engkao dudok tu sebab aku dah pajak masa engko dan adek-adek masuk skolah asmara dolu.  salam.'

abu ternganga.  abu terus call mak.  mak bagitau dia sekarang dah tak duduk rumah pusaka bapak.  semalam baru aje mak pindah angkut semua barang-barang ala akadar.  rupa-rupanya rumah tu bapak dah pajak diam-diam.  mak sendiri tak tau kenapa bapak sampai pajakkan rumah tu tanpa bagitau dia.  orang yang bagi bapak hutang tu hanya muncul lepas bapak mati sebab itu perjanjiannya kalau tak dapat selesaikan duit yang selama ini bapak pinjam untuk membiayai pembelajaran empat anak-anaknya termasuklah abu.  mak terpaksa pindah dan sekarang ni mak tinggal dengan nenek kat rumah keluarga mak.

abu terus meraung, sampaikan semua pekerja ofisnya terperanjat beruk....

'tak payahlah menangis abu, mana-mana aje pun mak tinggal, mak tak kisah, cuma satu aje yang mak ralat ni, mak dah jauh dari pusara bapak, nanti kalau naik lalang, naik semak, susahlah mak nak bersihkan sebab rumah nenek kamu ni jauh dari rumah pusaka bapak kamu tu, nak harapkan kamu dengan adik-adik, mak tau, korang semua bencikan bapak!'

saat ini abu dah meraung sambil berguling-guling kat lantai....

termenung di jendela....

...sambil aku merenung ke luar, terkenangkan banyak benda yang aku dah lalui sepanjang usia aku yang dah nak masuk setengah abad ini!  amek kau?!  setengah abad?  biar betul, bro!  seminggu aje lagi nak raya.  ramai yang mencari malam lailatul qadar, dan ada yang mencarinya ala kadar.  korang kalau dah masuk usia macam aku, huh, masa tu mulalah terbayang dosa-dosa silam.  ngeri wooo!

masa ni, aku terbayang wajah arwah nenek, insan paling sibuk setiap kali menjelang raya. aku banyak dosa dengan nenek.  banyak sangat.  kalau nak kira dengan jari, pinjam seribu pasang tangan pun tak cukup untuk kira dosa-dosa aku dengan dia.  tak taulah kalau nenek sempat ampunkan dosa aku ataupun tak?!  aku ni masa kecik dulu memang nakal... jahat yang sebenarnya.  aku selalu ambik kesempatan dengan nenek yang manjakan aku, maklumlah aku ni cucu sulung.  apa aku nak, aku dapat.  aku ni bukanlah asal dari keluarga kaya, biasa-biasa aje, tapi disebabkan nenek ni sayang sangat kat aku ni, apa aku nak, aku dapat.

nenek jual kain.  jalan kaki dari rumah ke rumah.  nenek aku ni memang terer menjahit.  dari anak tudung sampailah mak tudung, macam-macam stail dia reka dan jahit.  pendek kata, macam-macam ada, aneka jenis kain, baju, dan apa saja yang diperbuat daripada kain.  di hujung minggu, aku selalu jugak temankan nenek berjaja kain masa aku kecik dulu.  dari rumah aku kat gombak setia, naik bas leng seng turun sampai ke batu dua belas, habis pusing kampung, turun batu sebelas, sepuluh, sembilan dan lapan.  naik bas lagi turun pulak kat likuk, round kat rupas, pusing simpang tiga, kampung changkat dan keluar kat taman kamariah. naik bas dari taman kamariah turun batu empat, masuk kampung padang balang dan sungai mulia, semua sudut di gombak ni nenek redah.

balik rumah nenek kira duit!  berlipat duit nenek.  ikutkan, setiap rumah yang dia singgah, bukan banyak pun dia kutip.  tapi, hasilnya lumayan.  aku ingat lagi cara nenek berniaga.  pr-nya memang sempoi.

'ambik dulu, bulan depan bayar!'
'takut nanti tak ada duit mak cik!  untuk bulan ni pun saya tak ada lagi, masih berhutang dengan mak cik dua belas ringgit, dah tiga bulan dah, malu saya!'
'ala, tak apa!  bayar tambang dengan duit air pun cukup, jangan sampai mak cik datang kosong!'
'berapa pulak nak kasi?'
'ada lima ringgit pun boleh, lepaslah tambang mak cik dengan duit air dua bercucu!'  sambil nenek menjeling aku yang terpinga-pinga?!

aku dengar aje.  hapah pun tak faham.  ini bukan cerita rekaan, tapi adalah realiti yang aku simpan puluhan tahun.  hari ni, aku nak luahkan sebab aku rasa berdosa dengan nenek.

'hm, lima ringgit tak ada, kalau seringgit?'
'hm, seringgit tu lepas duit tambang ajelah, duit air tak ada, tiga ringgit boleh?'
'hm, dua ringgitlah mak cik....'
'hm, bolehlah, asal ada!'

masa tu aku tak rasa sedih pun.  seronok ikut nenek sebab dapat beli aiskrim malaysia perasa milo.  dapat makan apa yang aku nak.  umur aku masa tu sekitar tujuh ke sembilan tahun.  dapat dua ringgit nenek senyum. kalau dua puluh rumah, dapatlah nenek kutip sekitar empat puluh ringgit minima.  tapi ada yang bayar lebih.  banyak jugak yang bayar duit merah!  masa tu sepuluh ringgit besar.  tahun tujuh puluhan, sepuluh ringgit dah macam berapa nilai hari ni?!  zaman tu kat sekolah aku hanya bayar nasi sepuluh sen sepinggan, bayangkanlah?!  hari ni aku terfikir, kuat sungguh kederat nenek sanggup berjalan kaki berbatu-batu sambil menjinjing dua beg pakaian yang besar di kedua belah tangannya. puas pusing dari rumah ke rumah, setiap kali masuk waktu solat, nenek akan singgah kat mana-mana surau untuk lunaskan solat.  aku duduk di sisi, menunggu.  termenung, tak tau apa-apa sekadar tengok wajah nenek yang khusyuk serahkan diri pada allah.

hari ni, kalau nenek masih hidup, aku cium tapak kaki dia.  aku sujud depan dia mintak ampun. banyak dosa aku pada dia.  nantilah, bila-bila nanti aku cerita apa yang dah aku lakukan.  sure korang benci dengan aku.  jahat betul.  alih-alih sedang aku duduk termenung ni, nak-nak pulak dah nak menjelang raya ni, wajah nenek mengimbau.  senyuman nenek mengacau.  kata-kata nenek merayau-rayau.  aku yang jadi sasau.  sebab, banyak dosa aku dengan nenek yang masih belum sempat tapaw.

aku teringat anak-anak aku yang nak macam-macam.  kadang-kadang diorang tak faham dan tak tau kesusahan yang aku dengan bini aku hadapi.  macam tulah aku.  mana pernah fikir kesusahan nenek bersengkang mata menjahit sampai tengah malam, esoknya masak untuk aku dan keluarga sebab mak aku kerja.  mak aku pergi pagi, balik petang.  nenek pulak, kalau jahitannya dah siap, ada beraneka jenis untuk jualan, barulah dia berjaja.  kebiasaannya, hujung minggu adalah hari dia berjaja sementara hari biasa dia menjahit dan memasak.  dua kali seminggu, setiap sabtu dan ahad, nenek akan pusing satu gombak, dari rumah ke rumah menjual kain-kain jahitannya.  yang aku ni hanya tau mintak duit aje.  sebab tu, zaman kanak-kanak aku dulu mewah dengan barang mainan.  tapi... tak pernah aku rasa cukup dan nak lagi dan lagi.  kalau tak dapat, hm, mulalah aku cari jalan aku sendiri....

hari ni, aku dan bini aku balut buku untuk jualan.  panjat tangga kompleks dari kedai ke kedai hantar novel untuk dijual.  bila aku dan bini aku dah tiada, mungkinkah anak-anak akan faham?  masa tulah agaknya diorang nak sangat aku dengan bini aku hidup agar dapat diorang cium tapak kaki aku dengan bini aku ni.  sayangnya... masa tu dah terlambat, sebab kaki kami dah tak berkulit hanya tinggal tulang... tu satu hal, dalam tanahlah pulak, takkanlah diorang nak gali?

sesalan adalah seksaan, korang percayalah apa yang aku cakap ni sebelum korang semua menyesal!


Wednesday, July 18, 2012

hi! aku dah balik...

balik dari mana pulak ni bro?!  huh, lama gak tak jenguk benda blog ni, sampai aku sendiri gabra nak bukak.  rupanya, banyak setting dah berubah, dah berwajah baru.  so, korang semua apa khabar?

aku baru balik dari kuching, sarawak penghujung cuti sekolah baru-baru ni.  ada promosi tentang novel 'untuk tiga hari' yang bakal ditayangkan bulan september nanti.  afdlin shauki yang direct, best!  boleh gelak sambil menangis!

sedang aku makan kat ipoh kopitiam (ni kat kuching tau tak), berhampiran hotel penginapan aku, (dengan bini akulah, saper lagi), di depan meja tempat aku makan ada seorang lelaki.  berseluar pendek, berbaju kemeja, memikul beg plastik sampah berwarna hitam dan ralit memerhatikan aku dan bini aku yang sedang makan.  aku makan nasi putih berlaukkan ayam masak halia (diletakkan atas pinggan beralaskan kertas minyak) sementara bini aku makan kue tiaw goreng.  Aku hirup air cincau yang dingin sebab cuaca kat kuching pada hari tu agak panas setelah malamnya hujan lebat menggila.  tak cukup satu aku order sampai dua gelas dan tekak terasa nikmat sewaktu air dingin mengalir membasahi tekak yang kering.  allahuakbar, betapa nikmatnya air cincau tu.  terbayang saat di padang masyar yang panas, bertelanjang bulat, matahari sejengkal atas kepala, (gilo apo), apa yang aku nak buat?  pakai payung?  bukan payung tu aje, dengan aku-aku sekali cair!  telan air liur bro!  terbayang dosa silam yang berlambak mintak dibasuh.  sembahyang pun kurang, yang lima tu pun selalu gak terbabas.  tu belum yang sunat, yang kena berjaga malam, yang kena buat sebelum dan selepas solat wajib, yang dibuat orang masa matahari gerhana, kalau yang ada pun (itu pun kerap gak tertinggal), solat sunat aidil fitri.  tu pun sebab malu dengan ayah mertua yang pagi-pagi dah siap pakai baju melayu yang baru bau kedai.

di dalam hidup kita ni, (aku yakin sangat) satu solat saja yang mana-mana manusia tak pernah buat, (walaupun sealim mana pun manusia itu).  kalau ada pak imam kata dia pernah lakukan solat ini, nampak sangatlah dia pembohong.  nabi muhammad sendiri pun tak pernah lakukan solat ini walaupun ia sangat dituntut untuk melakukannya.  bohonglah kalau ada orang yang claim dia pernah lakukan solat ini.

berbalik pada cerita lelaki berseluar pendek berbaju kemeja tadi tu, aku nampak dia mula terintai-intai sewaktu pelanggan yang duduk di meja depan aku tu bangun.  aku ralit memerhatikan gelagatnya.  nak tau apa yang mahu dilakukannya?  bangun saja mereka untuk meninggalkan meja, bini aku pun turut bangun serentak sebab nak pergi ke tandas membuat simpanan, dan... lelaki berseluar pendek tadi terus meluru ke meja yang baru saja ditinggalkan kosong itu.  aku nampak ada sisa makanan yang tak habis dalam pinggan yang beralas kertas minyak itu dan dengan pantas lelaki itu mengambilnya, membungkusnya, lalu dimasukkan ke dalam plastik hitam yang dipikulnya itu!

Bukan itu saja, malah, sisa makanan yang sedikit (tak berbaloi untuk dibungkus) dimakannya begitu saja tanpa memikirkan soal maruah dan malu.  aku mendengus, terbayang pulak aku berada di tempatnya.  kelaparan, kehausan, perut dah berkeroncong, aku tak rasa aku tergamak untuk buat benda macam tu!  Aku pun tak rasa yang aku sanggup makan sisa orang?!  tapi iyalah, aku tak pernah lalui situasi begitu, bolehlah aku cakap.  betul tak?

bulan ramadan dah semakin hampir, ujian getir bakal aku dan korang semua hadapi.  namun, ujian kelaparan setengah hari itu pun masih ada yang ramai ponteng (termasuklah aku masa remaja dulu).  bagaimana agaknya kalau aku dan korang semua berada di dalam situasi lelaki berseluar pendek dan berkemeja itu yang terpaksa kutip sisa makanan akibat kelaparan?  

nauzubillah!

selamat menyambut ramadan al mubarak!

oh, aku tak jawab lagi ek... pasal solat yang tak pernah siapa pun pernah lakukan tu?!  hahaha!  korang nak sangat tau?  hahaha!

belum ada sesiapa pun (termasuklah yang hafiz quran 30 juzuk) yang pernah bersolat jenazah ke atas mayatnya sendiri....






Friday, March 30, 2012

Wednesday, March 7, 2012

bila ramai member yang dah pun pulang....

...tinggallah hanya kenangan yang girang....

aku macam biasa, pepagi lagi dah hantar anak-anak ke sekolah.  hujan la pulak tu!  lebat! dan, macam biasa jugak, aku akan singgah minum pagi kat kedai 'yeh', sambil pekena teh-o nipis dengan nasi lemak rendang ayam yang aku beli kat tepi jalan keluar dari danau kota.

bini aku tak nak nasi lemak, nak jaga badan.  high cholestrol!  tapi, bila sampai kedai, order telur setengah masak.  apa ke benda?  itu tak apa lagi, siap tax nasi lemak aku yang buatkan aku naik bingit.

'tadi suruh beli tak nak, bila saya makan awak kacau!'
bini aku sengih.  'kata kasih sayang, takkan kongsi nasi lemak pun tak boleh?!'
'ini bukan masalah kongsi, ni mengganggu kedamaian selera saya!'
bini aku sengih lagi sambil tangannya galak mencuit drum stick aku yang lazat ranum. sementara aku membebel bengang.  'lain kali beli sendiri la!  tak kacau saya!'
bini aku tetap tersengih... sambil mulut mengunyah daging ayam yang dicukai dari aku....

hujan masih turun renyai-renyai.  semalam aku dengar, sebahagian kl banjir.  chow kit dan kampung baru air naik.  memang pun semalam, dari petang sampai tengah malam, hujan turun tak nak berhenti.  dah tu, sambung pulak pagi ni betul-betul time aku nak hantar anak-anak pergi sekolah.  baru aje nak keluar rumah, hujan mula turun.  rahmat!  rahmat!

dulu masa kecik-kecik, bila ada kematian jiran dekat-dekat rumah aku, biasanya hujan akan turun (mungkin imaginasi aku masa kanak-kanak dulu, kut).  dan, tak silap perhitungan aku masa kecik-kecik dulu, asal ada kematian, mesti hujan.  asal hujan mesti ada kematian. dan, selalunya, bila sendirian duduk kat bilik, hujan pulak renyai-renyai, pasti akan aku bayangkan adanya kematian sedang berlaku. dan, aku mula berdebar-debar....

lamunan aku tersentap bila seseorang menegur:  'wa, makan khusyuk tak tengok kiri kanan!'
aku tersengih.  mat candu tersengih di depan aku.  'biasa la mat... hujan-hujan ni lapar tu!'
'iyalah, dari semalam hujan!'
aku angguk.
'eh, kau tau tak badadin sekarang sedang nazak?!'
'ha?!  iya ke?!'  aku ternganga.  terkenang teman-teman lama masa kami remaja dulu, sama-sama main bola di padang gombak setia.  'sakit apa?!'
'paru-paru bernanah!'
'adui....' aku menggeleng!
'sorang-sorang dah pergi!'  mat candu ketap bibir.  'abu noh, ayong, zul rani, alang, halim.... ramailah!'

aku tersentap.  wajah-wajah teman aku yang dah dipanggil pulang itu terus terbayang dalam memori singkat yang berlegar di benak.  betul apa yang mat katakan tu, seorang demi seorang daripada batch aku telah kembali ke rahmatullah.  terasa yang aku ni dah tua....

'aku pun risau ni, yang lain semua aku dah berhenti, tapi ni....'  menunjukkan kotak rokoknya yang ada gambar paru-paru hancur akibat kanser.  '...puas dah aku cuba!  memang tak boleh!'
'kalau kau nak berhenti rokok, tak boleh mendadak mat, kena slow-slow!'
'tau, doktor pun dah cakap, kalau aku terus berhenti, lain jadinya!  sekarang aku pun tengah nak cuba kontrol, kurangkan hisap perlahan-lahan!'
aku angguk.
'eh okeylah, aku gerak dulu, lepas ni ingat nak pergi hospital selayang, nak tengok kawan kita tu, rasa macam dah tak ada harapan dah, dah nazak!'
aku telan liur....

bini aku merenung, terus bersuara bila saja kelibat mat candu berlalu.  'siapa wak?!'
'kawan lama saya, dah nazak, tengah tunggu masa aje lagi!  sorang-sorang member lama saya meninggal!'

aku tengok bini aku tolak ke tepi piring yang berisi telur setengah masak yang masih berbaki separuh.  heran jugak.  takut kolestrol sumbat jantung kut!  al-maklumlah, baru aje dengar pasal kematian.  insaflah tu!  aku pun, rasa macam nak keluarkan aje nasi lemak dengan ayam rendang yang dah selesai masuk perut!

memori silam mengimbau! keriangan aku dengan kawan-kawan zaman aku kanak-kanak sehinggalah kami semua dah dewasa dan beranak pinak.  betapa girangnya kami berlompatan, mandi sungai, pasang jaring di lombong, lastik burung dan segala macam kerenah yang tak lagi kanak-kanak hari ini lakukan. dan, semua memori itu mula mengusik hati.  saat ini, kami dah tua.  kami dah jadi ketua keluarga. dan, seorang demi seorang menunggu giliran untuk dipanggil pulang.

hujan masih renyai-renyai.  akan adakah lagi kematian hari ini?!

Monday, January 9, 2012

kemarau oh kemarau...

...lu bikin seluar dalam gua basah doh!

malam bukak air-cond pun serupa tak bukak.  Bila siang, mak ai, tak guna cakap la, rasa malas nak keluar rumah.  punyalah panas, siapa yang sewaktu dengan aku kat kl ni taulah apa yang aku rasakan! untuk siapa yang bisnes air tebu, air kelapa, rezeki korang mencurah-curahlah ye!  rupenya korang yang sembahyang hajat mintak hujan tak turun.  maklumlah, rayo cino dah dokek.  orang cina shopping cny, korang nak tumpang sales, tul la tu, kan?!  doh!

sekolah pun dah bukak, mata pulak tu nak kena adjust, maklumlah dekat dua bulan anak-anak tak sekolah, aku laki bini raya sakan.  dapatlah menikmati tidur yang panjang.  ni bila sekolah dah bukak balik, hm, hampeh, pukul lima setengah alarm dah jerit rasa nak humban aje handphone kat longkang.  nasiblah harga kau mahal siol, kalau tak hari-hari aku tukar handphone! 

pagi tadi aku baru je hantar anak-anak ke sekolah, breakfast dengan bini aku yang busuk sebab dia malas mandi pagi tapi bagus jugak sebab dapat mengurangkan selera aku nak makan dah ini bagus untuk diet.  lepas aje sarapan sambil aku selak star baca berita terkini tanahair dan luar negara, aku pun melepak di luar sementara bini aku bergegas masuk rumah sebab nak settle-kan baju yang menggunung tak lipat. 

matahari yang tak pagi sangat masa aku berdiri tu taklah panas mana, bagus untuk supply vitamin c kat tubuh aku ni.  tapi semalam, masa aku berjemur di bawah panahan matahari yang terik, aku mula menggigil.  sungguh tak tahan doh, panas giler. mata aku mula berpinar, kepala hotak berpusing rasa nak pitam.  itu baru sekejap tak sampai seminit aku berdiri bawah tengah hari terik yang aku rasa senang-senang cecah 40 degree.  aku terbayangkan pekerja kontrak yang bancuh simen di waktu ini.  gilo?!  aku terbayang pulak mereka-mereka yang terpaksa bekerja di bawah mentari panas ini atas alasan terpaksa demi cari sesuap nasi!  camano?  lainlah korang yang kerja ofis, sedaplah belasah air-cond paling maksima yang boleh sampai bil api bos korang naik dua kali ganda sepanjang musim panas ni.

tak semena-mena, aku telan liur.  terbayang sesuatu yang jarang aku bayangkan.  yang jarang juga aku rasa korang bayangkan.  yang mungkin tak pernah korang fikirkan.  dan, terus aku tanya pada diri aku sendiri.  aku ni percaya ke pada allah?  percaya ke pada janji allah?  percaya ke yang kiamat akan datang?  percaya ke yang manusia nanti akan dibangunkan dari kubur dengan bertelanjang bulat dan matahari sejengkal atas kepala?  korang percaya ke?  kalau korang percaya korang tak takut ke?  korang rasa masa tu ada ke kontraktor yang boleh pasang air-cond untuk sejukkan padang masyar macam korang sejukkan bilik ofis?  sekali lagi aku tanya korang, korang percaya ke janji allah ni?

aku telan liur, aku bingkas semula dan berdiri kat tengah-tengah panas.  aku sekadar nak rasa panas tak?  panas siol!  walaupun belum masuk tengah hari, tapi panas tu dah mula membahang!  kalau sebegitu jauh matahari di atas langit sana dan panasnya pun aku rasa macam nak pitam, tak taulah nanti kalau kat padang masyar kelak, matahari sejengkal atas kepala, bagaimana aku jadinya kalau amalan aku tak cukup untuk dijadikan payung menahan mamahan cahaya mentari yang betul-betul atas kepala!  gilo doh!

masalahnya, aku, korang, dan ramai lagi korang-korang yang lainnya, bukannya percaya sangat pun tentang janji allah ini, tul tak?  kalau percaya, aku rasa, taklah aku, korang dan majoriti umat islam sanggup lakukan yang mungkar walaupun sekecil zarah sebab tak sanggup you!

okey, kalau korang sekadar nak cuba try test tengok, di musim panas nilah waktu sesuai untuk korang rasakan kehangatan 'mikro matahari' sebelum aku dan korang semua berdiri betul-betul di bawah 'bapak punya bapak matahari' masa kat padang masyar nanti!  cuba korang berjemur dalam lima enam jam, seolah-olah sedang menonton tayangan kehidupan yang korang dah lakukan.

selamat berjemur korang-korang semua!

lepas tu tanya diri sendiri, adakah korang percaya akan janji allah itu?!

ps:  bukan aku tak nak buat, tapi nanti bila bini aku habis lipat kain, dia jenguk aku kat luar nampak aku tengah berdiri sorang-sorang tengah-tengah panas, dia ingatkan aku ni gila!  terus bini aku tak nak bagi aku 'makanan malam' aku, saper nak jawab?  dahlah aku ada sorang bini aje!