There was an error in this gadget

Friday, October 21, 2011

bagi jual ajelah kat saya...

...organ tu.  bolehlah ye?!'
'perli saya ni encik!  mentang-mentanglah encik orang kaya, benda yang saya tak ada encik mintak beli!'
'saya serius ni....'
'saya tau encik banyak duit, tapi benda yang saya tak mampu, janganlah encik nak perli!'
'apa yang tak mampu ni?  apa yang awak merepek ni?!'
'enciklah yang merepek!  rumah saya tv pun tak ada, nak beli organ buat apa?!'
'la... saya bukan nak beli organ tu....'
'habis tu?  organ apa pulak?  bukan ke organ yang macam piano tu?!'
'saya nak mintak beli kornea mata awak untuk anak saya....'

akan adakah kematian tak lama lagi?  kalau organ manusia sudah ada di pasaran, teknologi perubatan di tahap maksima, kematian (berkemungkinan) takkan berlaku?!  bayangkan bila seorang manusia ada masalah jantung, tukar aje jantung baru, hidup.  bila buta, tukar kornea, terus nampak.  hati rosak, tukar yang baru, okey.  pendek kata, apabila spare part manusia ini sudah diperdagangkan secara terbuka, akan semakin panjanglah umur mereka yang kaya-raya.  jantung rosak, beli aje.  boleh pilih gred apa.  begitu juga lain-lain organ yang bermasalah, beli saja asalkan ada duit.  tidakkah ini secara saintifiknya memungkinkan mereka tak mati?!  allahualam!

ini ada satu cerita benar tentang seorang kawan karib aku masa di sekolah dulu.  dia telah pergi ke negeri china untuk membuat pembedahan buah pinggang.  yang best tu, di negeri china ada musim yang dipanggil harvest time.  ini adalah masa di mana banduan-banduan akan dijatuhkan hukuman mati, organ mereka pula akan diambil untuk dijual kepada manusia yang memerlukan.  bukan seribu dua, malahan, dengarnya, ratusan ribu banduan telah menerima hukuman mati dan telah memberi harapan dan sinar hidup baru bagi ratusan manusia lain di serata dunia yang memerlukan organ-organ itu untuk menyambung nyawa.  alhamdulillah, teman karib aku itu juga kini sihat walafiat dan menjalani kehidupan penuh tawaduk walaupun dia ada darah-darah keturunan banduan.  (hehe gurau aje bro).
 
inilah intipati khutbah jumaat hari ini.  umat islam digalakkan untuk menderma organ bagi mereka yang memerlukan.  halal dan sah.  mendermalah tanpa was-was.  hukum menderma organ adalah halal dan tidak berdosa malah digalakkan untuk menyelamatkan nyawa insan yang lain.  pendek kata, menderma organ juga adalah satu ibadah....

malangnya, masih belum ramai umat islam di malaysia ini yang sudi menderma.   (termasuklah aku dan keluarga aku)

teringat aku masa kecik-kecik dulu bila orang tua-tua bagitau aku masa nak angkat jenazah, buat pelan-pelan.  jangan kasar-kasar nanti mayat kesakitan.  jangan sesekali tumpahkan air mata kat wajah mereka, nanti menyeksa mayat.  kalau air mata yang ringan itu jatuh di muka, kesakitannya tak terkira apatah lagi kalau kita angkat mereka kuat-kuat.  mayat akan kesakitan tak terperi.  mayat akan menjerit.  cuma, korang yang masih hidup aje yang tak boleh dengar.  (aku pun sampai la ni belum pernah dengar orang yang mati menjerit masa tubuh mereka diangkat atau dimandikan).

aku bayangkan pulak, bila mayat yang dah mati itu dipotong tubuhnya untuk keluarkan organ yang diperlukan, bagaimana?  sedangkan kalau disentuh kasar-kasar pun dah sakit sampai meraung, bagaimana pulak bila tubuh dipotong-potong?!  lagilah sakit, ye tak?!  (tu yang sampai sekarang aku masih terfikir-fikir nak sain borang menderma organ).  lagipun aku ni ada gout, siapa yang nak organ aku, siapa yang nak sendi-sendi aku, semua dah bengkak-bengkak, pendek kata, kualiti tak berapa bagus, hahaha!  qc pun tak lepas rasanya, kut?!

namun semua cakap-cakap ini hanyalah perumpamaan saja.  bila kita menangisi dan meratapi jenazah yang tersayang, mereka terseksa bukan sebab air mata tumpah ke muka, tetapi mereka terseksa kerana kita seolah-olah tak mahu menerima hakikat, allah sekadar mengambil semula haknya yang dipinjamkan kepada kita.  (renungkan....)

tadi aku solat jumaat, dan macam-macam benda yang aku perhatikan.  macam-macam jenis perangai manusia yang ada.  (tu yang selalu solat aku jadi tak khusyuk tu).  depan saf aku, adalah satu mamat ni, bila berdiri tu, kangkangnya punyalah besar,  punyalah lebar, mak ai, macam bapak dia yang buat masjid tu.  inikan semua bahalol punya manusia.  kalau dia rapatkan sedikit kakinya, senang-senang boleh berdiri seorang lagi makmum yang tak payah bersolat kat panas matahari. kalau ada seratus orang macam ni, macam mana?

sebelah aku pulak, nak jadi cerita (walaupun ini cerita lama), semasa angkat takbir, tiga empat kali tak menjadi.  aku pulak ralitlah menjeling sampai bila takbir dia ni nak okey ni?
'allah... huakbar!'
tak jadi.  angkat sekali lagi....
'allah... huakbar....'
pun tak jadi jugak.  bayangkan, empat kali masih tak jadi.  aku yang berdiri sebelah dia pulak yang rasa macam nak tolong angkatkan takbir untuk dia.  ni yang payah.  aku diberitahu, asalkan pasang niat aje nak solat jumaat, allah dah tahu.  korang ingat allah tu bangang ke?  pekak ke?!  berdetik aje dalam hati, allah tahu apa niat korang.  melafazkan niat itu sekadar rutin saja, apa yang nak payah-payah sampai angkat takbir lima enam kali?  macam-macam?!

teringatkan mamat tu teringat aku pada satu kisah lama yang sering jadi bahan gelak aku dan geng-geng bila teringatkan kisah ini.  mungkin korang pun pernah dengar jugak kut?  tak apa, kita share pada sesiapa yang belum pernah dengar....

di satu r&r di lebuhraya, empat orang musafir berhenti untuk solat.  masing-masing menolak untuk jadi imam.  melihatkan seorang daripada mereka yang paling senior, berjanggut pulak tu, kelihatan warak, dia ditolak sungguh-sungguh untuk mengimamkan solat asar itu.  angkat takbir, tak jadi.  angkat lagi, pun tak jadi.  yang tiga makmum dah mula hilang konsentrasi.  angkat takbir lagi, tutup mata, penuh khusyuk, (kali ni jadi kut), pun tak jadi jugak.  bila masuk takbir yang kelima, seorang pemuda yang agak rugged, berseluar jean, t-shirt iron maiden menepuk bahu si imam itu lalu menawarkan dirinya untuk jadi imam.

budak rugged tu pun mengangkat takbir.
'allahuakbar!'  sambil itu dia menoleh ke belakang menjeling si janggut.  'nampak!  sekali aje!'
terus dia baca doa iftitah, baca fatihah, baca surah ad dhuhaa dengan bacaan yang sangat merdu sekali sehingga ketiga-tiga mereka termasuk si janggut itu kagum dengan kehebatannya itu tidak sebagaimana penampilannya yang rugged.

selesai saja dia memberi salam pada rakaat keempat, dia bacakan pula doa dan wirid yang begitu mempesonakan mereka yang mendengarnya.

dan, ketika mereka bersalaman, si janggut dengan rendah diri memberi pujian yang sangat ikhlas.  'tak sangka anak ni, pak cik tabik hormat, bacaan anak tadi, wow, macam juara musabaqah kebangsaan, sangat merdu!'

budak rugged mengangguk selamba.  'itu belum lagi saya ambik wuduk, kalau ada wuduk, hm... lagi merdu!'

si janggut terus gugur janggutnya selai demi selai ke lantai sewaktu mendengarkan pengakuan itu....

so, kalau nak beramal, nak buat ibadah, nak menyerahkan diri pada allah, buat ajelah dengan ikhlas, sebab keikhlasan itu yang sebenarnya allah utamakan... okey....

1 comment:

bofoyengfeng said...

hahaha...budak rugged tu memang rugged la!

Post a Comment